10 Sebab Kenapa Ingin Kahwin Muda

Kahwin awal ataupun kahwin muda merujuk kepada perkahwinan antara lelaki dan perempuan pada usia 18-24. Untuk memudahkan lagi, pasangan yang mendirikan rumahtangga ketika mereka masih lagi belajar. Kahwin awal ini kembali menjadi perbualan di mulut para remaja mahupun ibubapa. Ramai anak-anak remaja zaman kini ingin berkahwin pada usia yang muda. Salah satu alasan mereka,ingin mengelak dari perbuatan maksiat dan terkutuk.Kepada pembaca blog aku sekalian, aku tulis artikel ini bukan bermaksud aku ingin berkahwin pada usia yang muda ye. Haha! Entry ini merupakan pandangan aku terhadap kahwin muda ini. Mungkin juga boleh dijadikan sebgai sumber rujukan ataupun pencetus idea kepada mamat-mamat ataupun minah-minah diluar sana yang memerlukan 10 sebab kenapa ingin berkahwin awal, mungkin untuk dibentangkan kepada ayah dan ibu masing-masing.

Peringatan: Kebaikan kahwin awal sangat banyak, keburukan kahwin awal pun juga tidak kurang banyaknya!

10 sebab kenapa nak kahwin awal

1. Sudah ada yang berkenan di hati
Untuk pengetahuan abah dan mama, saya telah menjumpai insan yang berjaya menarik segala perhatian saya kepadanya. Senang cerita, saya telah jatuh hati dengan dia. Orangnya baik,kuat agamanya,mempunyai ciri-ciri isteri dan anak yang soleh,rajin,seorang yang bijak dan yang paling penting dia sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri yang baik dan juga seorang ibu yang hebat! Orangnya sudah ada, kenapa perlu ditangguhkan lagi kan?

2.Ingin menjaga mata,hati dan kemaluan
Mama dan abah yang dikasihi, memang perkahwinan ini bukan satu ruang untuk memuaskan nafsu semata. Namun kita perlu terima hakikat penciptaan manusia itu sendiri,kita diciptakan bersama dengan nafsu. Setinggi mana iman saya pada waktu itu, saya tetap tidak mampu untuk melarikan diri dari zina mata,zina hati dan minta jauh pada zina kemaluan. Kiri kanan depan belakang saya sentiasa berhadapan dengan wanita. Tidakkah lebih baik jika pernikahan ini dipercepatkan agar mata,hati dan kemaluan saya lebih terjaga dari fitnah-fitnah ini?

3.Mencari ketenangan
Apa perasaan mama dan abah bila mula-mula kahwin dulu? Mesti mama dan abah rasa sangat-sangat tenang kan? Bila dah ada orang tersayang kat sisi,jiwa sangat-sangat tenang. Ni bukan saya reka cerita. Ni dalam quran pun ada sebut. Ketenangan ini yang saya perlukan. Ketenangan dalam jiwa,ketenangan bila ingin beribadah dan juga ketengan dalam menuntut ilmu. Susah tau nak fokus dalam pelajaran bila jiwa meronta-ronta.:)

4.Teman dalam pelajaran
Abah dan mama risau pelajaran saya akan terganggu bila saya kahwin awal ye? Siapa cakap terganggu? Saya akan lebih bersemangat. Kahwin ini bukan matlamat hidup saya. Kahwin ini untuk melancarkan lagi perjalan saya menuju matlamat hidup saya yang utama. Isteri saya nanti boleh bersama saya,memberi sokongan. Kami boleh berlawan-lawan dalam mendapat keputusan yang lebih baik. Bukankah ini satu persaingan yang sihat? Dengan pasangan yang halal pulak tu kan?:)

5.Teman dalam kehidupan
Ini mungkin perasaan peribadi dari diri saya sendiri. Setiap manusia inginkan pasangan,ini fitrah. Mungkin naluri ini kelihatan terlalu awal menggelegak dalam diri saya ini namun kita tidak boleh bunuhnya begitu sahaja. Saya merupakan anak bongsu. Adik beradik saya semua sudah berkahwin. Secara jujurnya,sekarang saya selalu rasa sangat sunyi. Bila datang masa saya jatuh sakit, Ya Allahh..terasa sangat memerlukan seseorang berada disisi. Mama,dulu mama boleh menjadi peneman setia saya. Namun sekrang saya sudah berada sangat jauh dari mama. Saya perlukan seorang teman. Teman yang mampu mengambil tugas seorang ibu.

6.Teman dalam perjuangan
Kehidupan ini merupakan satu perjalanan menuju satu destinasi yang abadi. Ujian dan cubaan itu satu perencah dalam kehidupan ini. Saya boleh dan mampu menempuh semua ini seorang diri. Namun ada kalanya saat saya jatuh tersungkur,sedikit payah untuk saya bangun semula. Alanglah indahnya ada seorang insan yang menjadi teman setia dalam perjalanan ini. Lebih kuat dan teguh saya dalam perjalanan ini. Lebih laju dan berkualiti setiap masa kami. Saya dalam kesedihan,dia boleh menjadi pengubat duka. Saya sedikit terlari dari landasan,dia boleh kejutkan saya dan sama-sama mendirikan solat tahjud di malam hari. Kami tidak mahu menjadi manusia biasa,kami ingin menjadi pejuang agama,bangsa dan negara!

7.Hilang fokus
Mama dan abah yang amat saya cintai,masih kalian bersama saya?Mari kita teruskan. Saya ada cita-cita yang sangat besar. Saya bukan seorang budak univeriti yang tidak beragenda. Habis belajar,kahwin,dapat anak,sambung belajar sampai phd,pergi kuliah-kuliah agama,beli harta banyak-banyak sebagai aset dan seterusnya sehingga ajal menjemput. Saya bukan berfikiran tipikal rakyat sebegitu. Saya ingin membina ummah. Dan perjalanan ini sangat payah dan panjang. Namun buat ketika ini,hampir 50 peratus fokus saya telah hilang. Kerana gangguan perasaan dan faktor lain. Saya amat risau saya gagal sampai ke desitnasi. Saya memerlukan fokus itu kembali!

8.Remaja lebih produktif
Produktif ini bukan sahaja merujuk kepada zuriat hasil dari perkahwinan ini. Saya ingin buang jauh-jauh slogan sebegini “Rileks laaa..Muda lagi untuk kahwin. Enjoy dulu. Nanti menyesal baru tau.”. Slogan ini tidak ada dalam kamus hidup saya. Enjoy dulu? Saya takut tempoh enjoy ini saya sia-siakan dengan perkara yang langsung tidak memberi faedah kepada diri saya dan juga ummah keseluruhan. Tidak merasa rugi ke? Lagi saya takut jika dalam tempoh ini saya terus terjatuh kedalam arus maksiat. Nauzubillah! Bila saya berkahwin pasa usia yang muda, ruang untuk melakukan perkara-perkara “enjoy” sedikit sebanyak sudah tertutup. Saya selamat. Saya boleh fokus untuk terus berjuang dan berjalan berlari menuju matlamat yang hakiki itu.Saya takut saya mati dalam tempoh “enjoy” itu. Apa saya dapat? T_T

9.Menjadi lebih bertanggungjwab
Semoga dengan perkahwinan pada usia muda ini menjadikan saya seorang yang lebih bertanggungjwab dan matang. Sekarang ini pun saya sedang berusaha menjadi seorang yang bertanggungjawab. Mama dan abah taknak ke seorang anak yang matang dan bertanggungjwab? Atau nak seorang remaja biasa yang pada umur sekitar saya ini yang masih keluar lepak malam tanpa arah tuju dan agenda? Lepak di kedai mamak sehingga lewat malam semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak. Mesti tidak berkenan dengan jenis sebegini kan? Dengan sifat tanggungjawab ini, tidak sanggup saya bermudah-mudah dalam pelajaran saya. Ini masa depan saya. Insyaallah,tanggungjawab ini juga mampu menjadi pembakar obor semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang.

10.Menjadi anak yang soleh
Saya ingin berkahwin awal ini pun bukan satu perkara seronok-seronok,hanya untuk memuaskan nafsu sahaja. Tapi ini juga salah satu kerangka dalam berubudiyyah kepada Allah. Salah satu jalan untuk saya lebih dekat dan taqarrub dengan Dia. Semoga segala cabaran yang mendatang ini menjadikan saya lebih dekat dengan Allah. Lebih beriman dan menjadi hamba yang taat. Bila Allah cakap saya perlu menjadi anak yang soleh dan taat kepada kedua ibu bapa, saya sebagai hamba Allah yang taat akan menyerahkan seluruh hidup untuk menjadi anak yang soleh. Mama dan abah mesti gembirakan bila dapat anak sebegini? Doakan saya menjadi anak yang soleh.

Jom Follow Blog Tips Cinta

Powered by Blogger.
Rojak Campur
 
© Copyright 2035 Blog Tips Cinta
Theme by Yusuf Fikri
x

LIKE Page Blog Tips Cinta


Mix-Rojak