Walaupun
kerap kali memadahkan kata-kata sayang kepada si dia tetapi, kamu masih
tercari-cari idea pengucapan yang kreatif dan romantis untuk
dilontarkan kepadanya. Padahal, perasaan romantis dalam sebuah
perhubungan amat jelas diperlukan. Itulah yang membuatkan hubungan kamu
dan si dia bertambah intim.
Persoalannya,
tidak semua orang mempunyai sikap romantis yang berterusan. Walaupun
kehadirannya tidak boleh dipaksa tetapi, bagaimana pula jika kamu
tergolong dalam insan yang tidak romantis? Sekiranya benar, usah risau
kerana kamu masih mempunyai masa untuk meraih gelaran romantis hanya
dalam tempoh satu minggu. Ikuti panduan di bawah ini.
Hari pertama
Buat
catatan berunsur pernyataan cinta kamu kepada pasangan di atas sekeping
nota atau sebuah buku yang dihias indah. Catatan yang ditulis itu boleh
digantikan dengan serangkap puisi. Jadi, kamu tidak perlu lagi
mengucapkan I love you sekiranya berasa malu atau tidak selesa. Letakkan
catatan atau puisi tersebut di tempat yang mudah dilihat dan senang
ditemuinya.
Misalnya
di atas meja makan, saku jaketnya atau di atas kusyen keretanya. Jangan
lupa tampilkan nama kamu sebagai penulis catatan. Dengan cara ini, dia
tidak perlu lagi menunggu giliran untuk kamu menyatakan rasa cinta
kepadanya. Jika agak sulit untuk meninggalkan catatan tanpa diketahui
atau tidak sempat bertemu dengannya pada awal pagi, luahkan rasa itu
menerusi Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) atau e-mel.
Begitu
juga, tiada bezanya sewaktu menunggu kepulangannya dari tempat kerja.
Luahkan perasaan romantis kamu terhadapnya dengan cara memeluk erat
pasangan sambil memberi ciuman mesra. Katakan kepadanya betapa kamu
mencintai dan merinduinya setiap masa. Kongsi bersamanya tentang apa
yang dilakukan seharian. Jadikan satu kebiasaan baru buat diri kamu.
Hari kedua
Sekiranya,
sebelum ini kamu bukan pasangan yang gemar mengirim sejambak bunga,
kini lakukannya sebagai rutin minggu atau bulanan. Pesan sejambak bunga
atau sekuntum bunga segar dan kirimkan ke pejabatnya atau letak sendiri
di atas meja pasangan. Jika hari ini kamu membuat temu janji dengannya,
berikan dia sedikit kejutan. Kamu seharusnya membuang rasa segan untuk
membawakan hidangan, minuman, atau ais krim kegemarannya.
Sekiranya
kamu lupa untuk membelinya, peluk dan beri ciuman mesra saat bertemu
dengannya. Pelukan dan ciuman kamu mampu mewakili perasaan rindu dan
cinta kamu kepadanya.
Hari ketiga
Jika
jarak tempat kerja kamu dan pasangan tidak terlalu jauh, cuba aturkan
waktu makan tengah hari bersama. Setelah kembali ke pejabat
masing-masing, kamu seharusnya mengirimkan SMS atau e-mel berisi
ungkapan perasaan senang kamu pada waktu makan tengah hari bersamanya
sebentar tadi.
Hari keempat
Telefon
pasangan pada siang hari saat dia sedang menikmati waktu lapang.
Tanyakan kepadanya, adakah dia sudah ada temu janji pada malam ini. Jika
belum, cuba bincang dan lakukan perkara romantis pada malam ini. Ingat,
malam romantis tidak seharusnya diisi dengan candlelight dinner di
restoran mewah atau eksklusif. Makan di pinggir jalan dengan hidangan
lazat, dalam suasana tenang sambil diiringi lagu kegemaran kamu berdua
sudah cukup membangkitkan rasa romantis di antara kamu.
Hari kelima
Adakah
pasangan mempunyai waktu terluang? Jemput dia datang ke rumah sebaik
dia pulang dari tempat kerja. Siapkan makanan kegemarannya dan sajikan
di bawah cahaya lampu lilin.
Dengan
menulis menggunakan pensil, buat gambar hati bersaiz besar. Tuliskan
kalimat I love you di tengahnya. Letakkan gambar itu di tempat yang
mudah dilihat saat dia menjejak kaki ke rumah kamu.
Hari keenam
Jika
cuaca baik, kamu harus mengajak pasangan menikmati udara luar. Bukan ke
kelab atau pusat beli-belah, tetapi menikmati keindahan dengan berjalan
kaki bersama di taman. Ceritakan kenapa dia begitu istimewa buat kamu.
Hari ketujuh
Cinta
tidak semestinya selalu bersama dan bertemu setiap hari. Beri
kesempatan kepada pasangan untuk beristirehat bersama sahabat mahupun
ahli keluarganya. Kamu boleh menggunakan hari itu untuk menghiasi potret
wajah kamu berdua di dalam bingkai dan hadiahkan kepadanya pada esok
hari.