Jaga Emosi Suami Anda

SETIAP isteri sering mendambakan kata-kata cinta dan sayang yang lahir daripada mulut suami masing-masing hampir setiap hari.

Sebagaimana isteri, suami juga sebenarnya mempunyai keinginan yang serupa. Mereka ingin dibelai manja dan juga 'disimbahi' dengan kata-kata sayang daripada isteri mereka.

Mungkin cara setiap individu adalah berbeza dari segi pengucapan dan ada di kalangan isteri yang jarang-jarang memberi pengucapan kata-kata itu kepada suami masing-masing melainkan si suami terlebih dahulu mengucapkan kata-kata hikmat itu.

Ini kerana ada di kalangan isteri yang malu untuk menzahirkan ucapan sayang akibat daripada runtunan perasaan yang berbelah bahagi, malu untuk melakukannya mahupun atas rasa ego dan merasakan tidak penting kata-kata berkenaan berbanding pengucapan yang terlahir daripada mulut suami.

Sebenarnya, menzahirkan perasaan sayang itu bukan hanya sekadar daripada kata-kata. Sekiranya sebagai seorang isteri anda malu atau tidak mudah untuk menzahirkan kata-kata itu ia sebenarnya boleh diperlihatkan menerusi perbuatan.

Anda juga boleh menunjukkan rasa sayang anda dengan melakukan beberapa perkara asas:

1. Hormati dia
Cara yang paling berkesan untuk membuktikan cinta ialah belajar menghormati dia khususnya di depan sanak saudara. Buatlah sesuatu yang baik untuk membuktikan anda menyayangi suami anda dan jangan sesekali memperlakukan yang anda lebih berkuasa daripada dia di depan orang lain.

Sentiasalah menjaga maruah dan 'air muka' suami anda.

Sekiranya di dalam telefon pun tidak perlulah anda bercakap dengan nada sinis mahupun garang kepada suami anda seolah-olah untuk menunjukkan kuasa anda kerana anda tahu pada masa itu orang yang berhampiran dengan anda dapat mendengarnya. Jangan sesekali memperlihatkan suami anda dayus di depan anda.

2. Sentiasa meminatinya
Kata-kata seperti "saya suka tubuh abang" atau " abang ni kelakarlah", umpama pujian yang meresap ke dalam tubuhnya. Siapa yang tidak sukakan pujian tambahan pula ia dikeluarkan oleh insan yang dicintainya.

3. Biar dia mendengar pujian anda
Katakanlah anda sedang berbicara dengan rakan-rakan di rumah, sesekali pujilah suami anda dan biarkan dia mendengarnya sebaik apabila dia melintas di belakang anda. Pastinya dia berasa senang dengan pujian anda itu.

4. Tinggalkan segalanya
Sebaik dia pulang ke pejabat atau berada di rumah, fokuskan diri anda hanya untuk dia. Jauhkan diri daripada komputer, tutup televisyen, biarkan anak-anak anda bermain sendiri, berhenti memasak dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk dia dalam beberapa minit. Ini pastinya memberikan suami anda terasa diutamakan.

Ini tidak, ada di kalangan isteri yang asyik menonton televisyen sedangkan suaminya sudah melangkah kaki ke dalam rumah baru pulang dari kerja.

5. Perasan akan kekuatannya
''Tolong bang, ketatlah balang ini" atau "abang kuatlah boleh membukanya," atau ''cantiklah cat ini, sesuai abang pilih," adalah contoh berbentuk pujian ikhlas yang boleh menyebabkan suami anda berasa dihargai dan disayangi.

Namun jangan sesekali memuji 'palsu' suami anda dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Dia boleh mengetahuinya.

6. Maafkan kelemahannya, terima seadanya
Semua daripada kita mempunyai kelemahan masing-masing. Maafkan kelemahan suami anda dan terima dia seadanya dan jangan gunakan kelemahannya untuk menentangnya.

7. Jangan bandingkan
Jangan sesekali bandingkan suami anda dengan lelaki lain. Golongan Adam ini masing-masing mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Jika selalu sangat membandingkan suami anda dengan lelaki lain, dia akan terasa kelemahannya dan akan timbul emosi negatif dan menjarakkan hubungan dengan anda.



Jom Follow Blog Tips Cinta

Powered by Blogger.
Rojak Campur
 
© Copyright 2035 Blog Tips Cinta
Theme by Yusuf Fikri
x

LIKE Page Blog Tips Cinta


Mix-Rojak